RUANGAN IKLAN UNTUK DISEWA

"

Rabu, 19 September 2012

NIFAK DAN BAHAYANYA PADA ISLAM

"Siapa yang meninggalkan kesibukan mencari kesalahan pada perbuatan Allah, dianugerahkan kepadanya pelepasan daripada nifak."
Sayidina Umar Al-Khattab 

Nifak dalam Bahasa Arab di ambil dari akar kata (kata dasar) (نفق اليربوع) yang bererti "Lubang Tikus", ini kerana kebiasaannya tikus mudah menampakkan jalan masuk ke lubangnya namun tidak menampakan jalan keluarnya. Maka ia memberi maksud: "Menampakkan dan melahirkan sesuatu kemudian menyembunyikan (merahsiakan) lawannya".

Antara kalangan ulama muktabar yang telah mendefinisikan nifak : -


~ Imam Ibn Kathir Rahimahullah :

اِظْهَارُ الْخَيْرِ وَاِسْرَارُ الشَّرِّ
"Melahirkan yang baik dan menyembunyikan (merahsiakan) yang buruk."

~ Ibn Juraij Rahimahullah :

المنافق يخالف قوله فعله وسره علانيته ومدخله مخرجه ومشهده مغيبه
"Si Munafik itu bertentangan perkataannya dengan perbuatannya, yang dirahsiakan dengan yang berterang-terangan, yang di dalam (hati)nya dengan luarannya dan yang dipersaksikannya dengan yang disembunyikannya."

~ Ibn Qaiyim rahimahullah :

"Nifak itu ialah penyakit yang memenuhi anggota dalaman seseorang yang tidak disedari olehnya. Kerana nifak adalah urusan yang tersembunyi pada manusia. Cara kebanyakan yang menyembunyikan nifaknya ialah dengan bermuka-muka sebagai seorang pelaku kebaikan sedangkan dia adalah seorang yang pembuat kerosakan".


MENURUT IBN QAIYIM, NIFAK TERBAHAGI DUA

1 - Nifak Akbar
2 - Nifak Asghar

Nifak Akbar

Nifak Akbar (Nifak Besar) atau nifak akidah yang menyebabkan pelakunya jika tidak bertaubat sebelum meninggal dunia dia akan dikekalkan di dalam neraka. Di neraka pula Si Munafik ini akan ditempatkan di neraka yang paling terbawah (kerak neraka).

Boleh diertikan juga bahawa nifak akbar ialah Merahsiakan kekufuran dalam hati dan melahirkan keimanannya dengan lisan dan perbuatan (amalan).

Antara contoh-contoh nifak akbar (nifak besar) ialah:

1. Mendustakan apa yang disampaikan oleh Rasulullah S.A.W sama ada sebahagian atau keseluruhannya. Seperti menolak dan mendustakan bahawa hadis-hadis sahih (as-Sunnah) tidak perlu dipakai lagi dan cukup hanya dengan mengambil al-Quran sahaja.

2. Mempermain-mainkan, memperlekeh atau menghina sebahagian dari ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad 
S.A.W. Seperti menghina penutupan aurat bagi wanita mukminah, menghina akhlak Islamiyah atau memperlekeh dan menghina perlaksanaan hukum-hukum Allah Azza wa-Jalla yang alasannya hanya semata-mata bertujuan untuk mempermain-mainkan agama Allah.

3. Membenci Rasulullah 
S.A.W sama ada dengan tindakan, ucapan, sindiran atau hasutan. Seperti menuduh bahawa Rasulullah S.A.W sebagai seorang sayhwani (gila sex atau kaki perempuan).

4. Merasa gembira dan senang dengan kejatuhan Islam dan senang dengan kemenangan kuffar atau menolong (membantu) musuh dengan apa cara sekalipun dalam usaha menghancurkan Islam, memerangi umat dan Daulah Islamiyah.

5. Membenci ajaran yang dibawa oleh Rasulullah 
S.A.W atau menentangnya sehingga menghalang-halangi dakwah dan kelancaran perjalanannya sebagaimana firman Allah:

رَاَيْتَ الْمُنَافِقِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْكَ صُدُوْدًا
Nescaya kamu lihat orang-orang munafik menghalang-halangi (manusia) dengan sekuat-kuatnya”.
An-Nisa 4:61

Nifak Asghar

Nifak Asghar "اصغر" (Nifak kecil) atau nifak amali iaitu salah satu dari dosa-dosa besar yang paling besar. Namun pembuatnya tidak akan dikekalkan di dalam neraka. Dinamakan nifak kecil ialah apabila perbuatan seseorang nampak jelas berbeza dengan apa yang telah disyariatkan oleh syara. Antara contoh-contoh nifak kecil ialah:

1. Mudah dan suka berdusta dalam ucapan atau perkataannya sebagaimana yang telah dijelaskan di dalam al-Quran dan sabda Nabi Muhammad 
S.A.W:

وَاللهُ يَشْهَدُ اِنَّ الْمُنَافِقِيْنَ لَكَاذِبُوْنَ
Dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya orang-orang munafik benar-benar orang pendusta (pembohong)”, 
Al-Munafiqun 63:1

اِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِيْ اِلَى الْفُجُوْرِ ، وَاِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِيْ اِلَىالنَّارِ ، وَلاَ يَزَلُ الرَّجَلَ يَكْذِبُ وَتَحَرَّى الْكَذِبَ حَتَّى يَكْتُبَ عِنْدَ اللهِ كَذَّابًا.

"Sesungguhnya dusta itu mengarah kepada kemaksiatan, kemaksiatan mengarah kepada neraka. Sesungguhnya seseorang itu akan terus berdusta dan sentiasa mencari celah dusta sehingga ia dicatit di sisi Allah sebagai pendusta".
hadith muttafaqun 'alaihi

2. Tidak menepati janji sebagaimana sabda Nabi Muhammad 
S.A.W:

وَاِذَا وَعَدَ اَخْلَفَ
"Dan apabila berjanji ia tidak menepatinya"

3. Mengkhianati amanah sebagaimana larangan Nabi Muhammad 
S.A.W dari melakukan pengkhianatan:

وَلاَ تَخِنُ مَنْ خَانَكَ
"Janganlah kamu mengkhianati orang yang mengkhianati kamu"

4. Curang atau keluar dari peraturan akhlak Islamiyah apabila berlaku pertengkaran atau ikhtilaf (berselisih faham), misalnya berkata bohong dalam menjelaskan perkara yang sebenar atau melebih-melebihkan permasalahan dengan segala kebohongan dan penipuan. Rasulullah bersabda:

آيَةُ الْمُنَافِقِ اَرْبَعٌ : اِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَاِذَا وَعَدَ اَخْلَفَ وَاِذَا خَاصَمَ فَجَرَ وَاِذَا عَاهَدَ غَدَرَ
"Tanda-tanda munafik itu empat: Apabila berkata ia dusta, jika ia berjanji tidak menepatinya, apabila bertengkar ia berlaku curang dan apabila berjanji dia berkhianat".

5. Gemar menipu (penipuan) sebagaimana yang dijelaskan oleh Nabi Muhammad 
S.A.W:

اِنَّ الْغَادِرَ يُنْصَبُ لَهُ لِوَاءٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيُقَالُ : هَذِهِ غَدْرَةُ فَلاَنِ بْنِ فُلاَنٍ
"Sesungguhnya setiap penipu akan dipancangkan baginya sebuah bendera dan dikatakan ini adalah penipuan si Fulan anak si Fulan".
H/R Bukhari (5710) Al-Adab.

sumber : http://rasuldahri.tripod.com/articles/kka1_dua.htm

Tiada ulasan: