RUANGAN IKLAN UNTUK DISEWA

"

Isnin, 23 April 2012

PIAGAM MADINAH



PIAGAM MADINAH : Ialah Perlembagaan Bertulis yang pertama yang digunakan oleh umat Islam Madinah dimasa pemerintahan Islam. Ia telah digubal oleh Nabi Muhammad sollallaahu 'alaihi wasallam pada tahun 622M bersamaan tahun pertama Hijrah, merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia.

Asal Usul Kenapa Piagam Ini Tertulis.
Pada masa ketibaan Rasullah s.a.w di Madinah terdapat dua golongan penduduk terbesar, iaitu orang Arab dan Yahudi. Orang Arab Islam, terdiri dari suku kaum Aus dan Khzaraj digelar sebagai Ansar ( Golongan Penolong ) dan orang Arab Quraisy yang berhijrah dari Makkah pula digelar Muhajirin (golongan Pendatang). Orang-orang Yahudi di Madinah pula terbahagi kepada beberapa kumpulan. Antaranya ialah bani Qainuqa, Quraizah dan Nadir.

Orang-orang Ansar dari suku kaum Aus dan Khazraj sebenarnya berada di dalam satu kawasan yang sama (kawasan masjid nabawi sekarang). Mereka sentiasa berselisih faham sesama mereka sejak zaman berzaman lagi. Orang Muhajirin pula terlalu miskin kerana mereka dihalau dari kampung halaman mereka. Orang-orang Yahudi sentiasa bersikap permusuhan dan sentiasa menghasut dan mengkhianati Rasullah sollallaahu ‘alaihi wasallam dan pengikutnya. Orang-orang Munafik pula menjadi musuh dalam selimut. Disamping itu orang-orang Musyrikin Quraisy di Makkah sentiasa membuat pelbagai usaha untuk menghancurkan agama Islam dan orang-orang Islam.

Untuk mententeramkan keadaan gawat di Madinah, Rasullah sollallaahu ‘alaihi wasallam membuat perjanjian dengan seluruh Penduduk di Madinah dan menulis satu paiagam negara Islam pertama yang disebut sebagai Sahifah al-Madinah

Kandungan Piagam
Piagam ini terdiri daripada 47 fasal.:

23 fasal piagam tersebut membicarakan tentang hubungan antara umat Islam sesama umat Islam iaitu antara Ansar dan Muhajirin.

24 fasal yang berbaki membicarakan tentang hubungan umat Islam dengan umat bukan Islam iaitu Yahudi.

Nama Lain Bagi Piagam Madinah
Selain Piagam Madinah, ia juga dikenali dengan pelbagai nama seperti Perjanjian Madinah, Dustar al-Madinah dan juga Sahifah al-Madinah. Selain itu Piagam Madinah juga boleh dikaitkan dengan Perlembagaan Madinah kerana kandungannya membentuk peraturan-peraturan yang berasaskan Syariat Islam bagi membentuk sebuah negara (Daulah Islamiyah) yang menempatkan penduduk yang berbilang bangsa atau kaum.


Perangkaan Piagam Madinah
Rasulullah s.a.w. dalam merangka piagam Madinah atau di kenali sebagai perlembagaan madani, beliau telah mengikut bimbingan wahyu dan berdasarkan norma-norma masyarakat Madinah ketika itu. Terdapat tiga langkah yang diambil oleh Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam dalam membentuk piagam Madinah.

Langkah pertama : Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam mendirikan sebuah masjid sebagai tempat orang Islam beribadat dan tempat Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam menyampaikan ajaran Islam serta tempat pentadbiran Baginda.

Langkah kedua : Mengikat tali persaudaraan antara kaum Ansar dan Muhajirin, bagi mewujudkan persefahaman dan untuk membantu kaum Muhajirin memulakan hidup baru dengan pertolongan kaum Ansar.

Langkah ketiga : Mengadakan perjanjian dengan orang Yahudi supaya sama-sama mempertahankan Madinah dari ancaman luar.

Berdasarkan langkah-langkah tersebut maka lahirlah satu perjanjian yang dikenali sebagai Piagam Madinah. Perkara utama yang terkandung dalam Piagam Madinah adalah:

• Nabi Muhammad s.a.w. adalah ketua negara untuk semua penduduk Madinah dan segala pertelingkaran hendaklah merujuk kepada baginda.

• Semua penduduk Madinah ditegah bermusuhan atau menanam hasad dengki sesama sendiri, sebaliknya mereka hendaklah bersatu dalam satu bangsa iaitu bangsa Madinah.

• Semua penduduk Madinah bebas mengamal adat istiadat upacara keagamaan masing-masing.

• Semua penduduk Madinah hendaklah bekerjasama dalam masalah ekonomi dan mempertahankan Kota Madinah dari serangan oleh musuh-musuh dari luar Madinah.

• Keselamatan orang Yahudi adalah terjamin selagi mereka taat kepada perjanjian yang tercatat dalam piagam tersebut,


Tujuan Piagam Madinah
• Menghadapi masyarakat majmuk Madinah
• Membentuk peraturan yang dipatuhi bersama semua penduduk.
• Ingin menyatukan masyarakat pelbagai kaum
• Mewujudkan perdamaian dan melenyapkan permusuhan
• Mewujudkan keamanan di Madinah
• Menentukan hak-hak dan kewajipan Nabi Muhammad dan penduduk setempat.
• Memberikan garis panduan pemulihan kehidupan kaum Muhajirin
• Membentuk Kesatuan Politik dalam mempertahankan Madinah
• Merangka persefahaman dengan penduduk bukan Islam, terutama Yahudi.
• Memberi peruntukan pampasan kepada kaum Muhajirin yang kehilangan harta benda dan keluarga di Mekah.


Prinsip Piagam Madinah
• Al-Quran dan Sunnah adalah sumber hukum negara.
• Kesatuan Ummah dan Kedaulatan Negara
• Kebebasan bergerak dan tinggal di Madinah
• Hak dan tanggungjawab dari segi ketahanan dan mempertahankan negara
• Dasar hubungan baik dan saling bantu-membantu antara semua warganegara
• Tanggungjawab individu dan negara pemerintah dalam menegakkan keadilan sosial.
• Beberapa undang-undang keselamatan seperti hukuman Qisas dan sebagainya telah dicatatkan
• Kebebasan beragama
• Tanggungjawab negara terhadap orang bukan Islam
• Kewajipan semua pihak terhadap perdamaian.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Very nice article and straight to the point. I am not sure if this is actually the best place to ask but do you people have any thoughts on where to hire some professional writers? Thx :)
HTTP://www.KneeNeckBackPain.com/